Khamis, 5 April 2012

Padah rakam video awek



Gambar hiasan
MELAKA: Hanya kerana mahu meleraikan pertengkaran dua rakannya bersama individu tidak dikenali, seorang pelajar tingkatan empat ditumbuk hingga patah rahang kiri dalam kejadian di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Arif Fikri A Rahim, 16, dari Alai, di sini, mendakwa ditumbuk lelaki berusia awal 20-an itu di bahagian mulutnya yang turut mengakibatkan mulutnya berdarah dan pipi kanannya cedera.
Menurutnya, ketika kejadian, dia baru selesai makan di kedai berhampiran bersama rakan sebayanya, Mohd Shafiq Abd Rahman dan terus melepak di padang di atas pusat beli-belah berkenaan.
Dakwanya, ketika melepak, dua rakannya yang kebetulan berada di kawasan sama menemui mereka dan seorang daripada mereka mahu meminjam kamera digital miliknya untuk merakam gambar dua gadis yang juga berada di kawasan itu.
“Mereka berdua terus menemui gadis berkenaan untuk merakamkan gambarnya, saya dan Mohd Shafiq berada pada jarak 20 meter hanya memerhatikan gelagat mereka.
“Tiba-tiba seorang lelaki muncul dan meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana merakamkan gambar gadis berkenaan yang didakwa teman wanitanya.
“Saya hanya mendengar mereka bertengkar dengan meminta gambar dirakamkan itu dipadamkan selain berlaku tolak-menolak di antara mereka,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Tun Sri Lanang, di sini, semalam.
Turut berada bersama Mohd Arif ialah ibu bapanya, Jamaliah Tapah, 48, dan A Rahim Adip, 50.
Mohd Arif mendakwa, kerana tidak mahu pertengkaran itu menjadi serius, dia dan Mohd Shafiq meleraikan pertengkaran itu.
Bagaimanapun, ketika menghampiri mereka, lelaki tidak dikenalinya itu terus menumbuknya di bahagian mulut.
“Saya mula berasa sakit dan kebas di bahagian mulut dan berlaku pendarahan menyebabkan saya lemah. Melihat keadaan itu, lelaki terbabit bersama dua gadis berkenaan terus beredar sebelum saya menghubungi bapa saya,” kata anak bongsu daripada tiga adik beradik itu.
Sementara itu, A Rahim berkata, dia bergegas ke tempat kejadian bersama rakannya dan sejurus tiba terus membawanya ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka (HM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, menerusi ujian sinar-x mendapati rahang kiri anaknya patah, bagaimanapun pembedahan tidak dapat dilakukan dengan segera.
“Saya yang bimbang dengan keselamatannya membawanya ke pusat perubatan swasta bagi membolehkan pembedahan dapat dilakukan segera,” katanya.
Beliau berkata, dia membuat laporan mengenai kejadian itu pada awal pagi semalam di Balai Polis Melaka Tengah.

1 ulasan: