[MK] Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok hari ini membuat aduan kepada bahagian tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman berhubung dakwaan seorang ibu kepada empat orang anak dikasari dan mengalami gangguan seksual ketika disoalsiasat polis Sri Petaling pada pagi 24 Mac lalu.
Beliau yang hadir bersama mangsa yang merupakan ahli perniagaan Lim Hui Hui, peguam Eric Tan dan beberapa pembantu wakil rakyat itu kelihatan memasuki ibu pejabat polis itu kira-kira jam 9.55 pagi ini.
Bercakap kepada media sebelum membuat aduan tersebut, Teresa berkata apa yang dilalui Lim adalah "satu pembulian" terhadapnya.
"Sepatutnya polis mesra rakyat. Tidak sepatutnya perkara itu berlaku dalam balai polis," katanya.
Lim sebelum ini dilaporkan membuat laporan polis kerana mendakwa dikasari dan mengalami gangguan seksual ketika disoalsiasat di Balai Polis Sri Petaling pada pagi 24 Mac lalu.
Lim mendakwa anggota polis wanita yang bertugas di balai berkenaan memintanya kencing dalam botol untuk ujian air kencing, tetapi tanggannya digari ke belakang.
Tambahnya, apabila beliau membangkitkan perkara itu, payudaranya dipicit dan beliau diberitahu ia mesti tetap dibuat.
Teresa juga berkata beliau menerima satu kiriman SMS daripada seorang individu yang tidak dikenali pagi ini, yang mendakwa melihat insiden yang dilalui Lim.
"Saya berharap ada lagi saksi tampil ke hadapan untuk membantu polis menjalankan penyiasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan